Saturday, May 2, 2009

WANITA DARI ASPEK POLITIK DAN KEPIMPINAN

Posted by | |

Comments

By farah dahli

Pada era globalisasi kini, wanita islam terlibat secara langsung dalam hal ehwal kepimpinan dalam negara dan luar negara,mahupun dalam sekecil-kecil kumpulan sehingga sebesar-besar organisasi dunia. Dalam hal ini, bertambahlah tangungjawab yang dipikul oleh wanita zaman sekarang, termasuklah wanita yang bergelar muslimah. Sebetulnya, islam tidak melarang wanita untuk berpolitik dan berkepimpinan, namun, ini akan mengundang kesan yang negatif jika tidak ada batasan dan rujukan daripada al-qur’an dan al-sunnah.

Menurut buku yang dikarang oleh Zeenath Kausar yang bertajuk Woman As The Head Of State In Islam, beliau membahaskan penglibatan wanita dalam politik dalam dua kategori, iaitu penglibatan wanita dalam politik secara perspektif general. Yang kedua adalah penglibatan wanita dalam politik secara perspektif kepimpinan.

Dalam perspektif general

Ada sesetengah golongan yang menentang keras akan penglibatan wanita dalam politik dan juga organisasi sosial. Mereka menegakkan suara mereka dengan dalil yang terkandung dalam surah Al-Ahzab, ayat ke 53 yang berbunyi :

.....Apabila kamu meminta sesuatu(keperluan) kepada mereka(isteri-isteri nabi), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka.......

Namun, ada juga segolongan yang menyokong akan penglibatan wanita dalam politik. Mereka menetapkan pendirian mereka untuk membahasnya dengan golongan yang menentang dengan dalil yang terkandung dalam surah Al-Ahzab, ayat ke 32 yang berbunyi:

.... wahai isteri-isteri nabi!. Kamu tidak seperti perempuan-perempuan yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk (melemah lembutkan suara) dalam berbicara sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.......

menurut dalil ini, mereka berpendapat bahawa isteri-isteri nabi tidak mempunyai halangan dalam melibatkan diri dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan sosial. Hal yang sama turut ditujukan kepada para wanita yang lain. Namun, ayat ini ditujukan khas untuk para isteri nabi sahaja kerana mereka mempunyai darjat yang tinggi jika dibandingkan dengan para wanita yang lain. Maka Allah S.W.T tekankan kepada mereka untuk lebih berwaspada dan berjaga-jaga dalam menonjolkan diri dalam dunia luar.

Menurut penerangan yang diajukan oleh Abdullah Yusuf Ali mengenai ayat 32 sehingga ayat 34 dalam surah Al-Ahzab di dalam bukunya bertajuk The Meaning Of The Holy Quran, ayat tersebut ditujukan khursusnya hanya untuk para isteri Rasulullah S.A.W. Dengan darjat mereka yang suci iaitu para isteri nabi, mereka seharusnya menjaga akan pemakaian, percakapan dan juga hubungan interaksi sosial mereka dengan lelaki supaya orang luar tidak akan menabur fitnah yang akan membawa bencana kepada mereka. Ayat tersebut juga hanyalah sebagai peringatan buat mereka, bukanlah suatu penghinaan dan meruntuhkan semangat oleh Allah. Selain itu, dengan dalil tersebut, tidak bermaksud bahawa para isteri nabi tidak boleh memberikan khidmat baktinya dalam hal ehwal politik dalam menegakkan syiar islam. Sudah cukup sejarah dunia yang telah terukir mengenai sifat kepimpinan dan kepahlawanan para isteri nabi dan penglibatan mereka dalam sosial dan masyarakat.

Dalam perspektif kepimpinan

Ada golongan yang menentang akan wanita sebagai pemimpin. Di dalam surah An-Nisa’ ayat ke 34 yang berbunyi:

Laki-laki(suami) itu qawwamum(pelindung) bagi perempuan(isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebabahagian yang lain(perempuan) dan kerana mereka(lelaki) telah memberi nafkah dan hartanya......

Bagi golongan yang menentang akan penglibatan wanita dalam kepimpinan menguatkan pendapat mereka dengan dalil tersebut. Bagi mereka, lelaki itu sendiri telah diserahkan tanggungjawab baginya untuk memimpin kerana Allah telah menyatakan mereka adalah qawwamum atau pelindung bagi wanita. Hal ini adalah disebabkan merekalah yang menyediakan nafkah bagi kaum wanita. Selain itu, kekuatan fizikal lelaki lebih kuat daripada wanita untuk menjaga keselamatan dan maruah kaum wanita. Asbab dari ini, mereka berpendapat bahawa lelaki adalah lebih baik dan lebih layak untuk memimpin.

Namun, pembela bagi kaum wanita yang bersetuju bagi wanita berpolitik dan memimpin, mereka tidak setuju dengan pendapat golongan penentang tersebut. Bagi pandangan mereka, dalil tersebut hanyalah ditujukan kepada wanita dalam perspektif keluarga. Jauh sekali daripada perspektif politik dan kepimpinan yang diluar dari rumah dan keluarga. Tetapi, mereka tetap setuju dengan konsep qawwamum, bahawa lelaki yang memimpin dalam keluarga kerana kewangan, tanggungjawab, dan kekuatan fizikal mereka tetapi tidak dikaitkan dengan perkara diluar perspektif keluarga. Maka, tanggungjawab bagi lelaki untuk memimpin dalam keluarga dan menjaga isteri dan anak-anak mereka tidak boleh diglobalkan dan tidak boleh dimasukkan dalam konteks kepimpinan politik.

Daripada pendapat-pendapat yang dinyatakan oleh kedua belah pihak tersebut, dapat dirungkaikan bahawa tidak ada dalil yang termaktub dalam al-qur’an yang menyatakan bahawa lelaki lebih baik daripada kaum hawa seperti yang dikatakan oleh pihak yang menentang akan kepimpinan wanita walaupun di dalam surah An-Nisa’ ayat ke 34 yang menyatakan akan kewajipan bagi wanita dalam lindungan dan kemantapan keluarga.

Terang lagi bersuluh dalam buku karya Siti Zulaikhah Mohd. Nor yang bertajuk Kedudukan Dan Peranan Wanita Dalam Islam bahawa tanggungjawab untuk mempertahankan maruah dan kemantapan ummah Islam bukan semata-mata untuk lelaki, tetapi turut boleh dikaitkan dengan penglibatan wanita. Tugas mereka adalah untuk membina dan membangun kembali ummah islam yang hampir runtuh disebabkan oleh etika pembangunan dan kemajuan islam diadaptasi daripada barat. Namun, untuk memimpin, para pemimpin wanita haruslah persiapkan diri dengan iman yang teguh, beramal dengan kehidupan sebagai seorang musalimah untuk memahami dan menghayati islam itu sendiri agar kepimpinannya tidak terpesong dek godaan syaitan dan kelemahan diri.

Walaupun kepimpinan wanita diterima oleh islam, tetapi tidak semua aspek politik yang boleh dipegang oleh mereka. Bagi islam, kepimpinan wanita adalah ditolak diperingkat Ketua Negara atau dalam bidang yang melibatkan hukuman Hadd atau hakim. Ini bukanlah bermaksud wanita disekat untuk berpolitik dalam negara. Kesedaran politik itu sendiri harus dikembangkan dalam kalangan kaum wanita islam. Seperti yang sudah tersedia ada, wanita turut dilibatkan sekali dalam pemilihan calon-calon bagi peringkat pengundian untuk politik negara. Para kaum hawa yang berpolitik haruslah berilmu pengetahuan yang mantap, merangkumi fardu ain dan fardu kifayah. Selain itu, mereka juga perlu bersedia dan berwaspada terhadap sebarang tentangan dan halangan yang bakal menimpa. Yang seterusnya, mereka juga perlu mempunyai lakaran atau rangka tindakan yang menyeluruh. Dalam konteks ini, wanita boleh dianggap sebagai agen kepada perubahan sosial dalam kalangan masyarakat.

Wanita memang diberikan tempat secara langsung dalam politik negara dan mewarnai corak pimpinan ummah. Namun, masih ada hadnya. Kaum hawa boleh berpolitik tetapi hanya dalam menentukan pimpinan, berbai’ah dan menyuarakan teguran dan pandangan. Maka, dari sinilah kesedaran politik dalam kalangan wanita patut dimantapkan. Daripada kisah sejarah muslimah di zaman Rasulullah S.A.W dan juga zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin, dapat kita ketahui betapa perjuangan mereka dalam politik dan kepimpinan islam terserlah namun dengan beberapa batasan yang telah ditetapkan oleh Allah. Sesuai dengan sifat wanita itu sendiri yang dari azali memang lemah dari segi emosi dan fizikal jika dibandingkan dengan kaum adam.

Islam itu indah dan senang. Islam juga adalah sebuah agama yang global dan boleh diterima pakai untuk semua zaman. Daripada keterangan yang telah disisipkan daripada rujukan-rujukan yang dinyatakan, dapat kita rumuskan bahawa wanita masih boleh berpolitik dan memimpin namun tidak dalam semua bidang politik tersebut. Memang ada perkara yang dilakukan oleh lelaki turut boleh dilakukan oleh kaum hawa, namun ada batasannya kerana peranan masing-masing adalah berbeza. Dalam surah Al-Lail ayat 1 hingga 4:

Demi malam apabila menutupi (cahaya siang ) dan sinag apabila terang benderang. Dan penciptaan lelaki dan perempuan, sesungguhnya usaha kamu memang berbeda-beda.

Ada sesetengah bidang dalam politik itu tidak dapat dipegang oleh wanita. Hal ini adalah khuatir akan berlaku perkara yang dapat meruntuhkan ummah dan negara. Sebetulnya, islam adalah agama yang terbuka dan tidak akan menyusahkan umatnya, baik lelaki ataupun wanita. Islam juga adalah agama yang adil kepada semua jantina dan peringkat umur. Hal ini termaktub dalam surah An-Nahl ayat ke 97:

Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami beri balasan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebig baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...