Tuesday, June 2, 2009

Posted by | |

Hanya modal minyak masak

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my



DENGAN bermodalkan minyak masak, Metanol (CH3OH), Natrium Hidroksida (NaOH) dan air, biodiesel dapat dihasilkan bagi kegunaan bahan bakar.

Mungkin ramai menganggap idea itu mustahil dan pelik tetapi ia adalah realiti bagi pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Hakikatnya, mereka membuktikannya biodiesel yang dihasilkan merentasi sempadan negara menerusi Ekspedisi Biodiesel 2009 UTM Skudai ke Universiti Prince of Songkla (PSU) Surat Thani, Thailand, baru-baru ini.

Bermula dengan pencarian di internet, pelajar-pelajar yang diketuai Azad Anugerah Ali Rasol selaku pengarah program menggunakan sepenuhnya pengetahuan yang mereka bagi menghasilkan minyak biodiesel.

Menurut Azad, sepanjang proses menghasilkan biodiesel, mereka hanya menggunakan sumber dari internet dan penyeliaan pensyarah.

"Mulanya kami menganggap proses penghasilan biodiesel ini rumit dan memerlukan pelbagai jenis bahan.

"Bagaimanapun, sangkaan itu meleset kerana kerana dengan hanya sekali percubaan, biodiesel kami berjaya menggerakkan sebuah van," katanya.

Justeru, mereka merancang menghasilkan 20 peratus biodiesel untuk digunakan ekspedisi itu.

Azad berkata, ekspedisi itu bertujuan mempromosi penggunaan biodiesel sebagai bahan bakar dan ia disertai 50 mahasiswa serta kakitangan UTM dengan membabitkan tujuh kenderaan.

Program anjuran Jawatankuasa Mahasiswa (JKM) Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) itu membabitkan perjalanan 1,450 kilometer (km).

"Eksepedisi itu tanda sokongan kepada hasrat kerajaan menggunakan lima peratus biodiesel sebagai alternatif bahan api kepada kenderaan awam.

"Biodiesel adalah bahan bakar berasaskan sumber alam yang dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar dan menjadikan hayat enjin lebih panjang.

"Ekspedisi ini mahu mempromosikan penggunaan biodiesel bagi membuktikan ia boleh dilaksanakan tanpa masalah di negara ini," katanya.

Program selama empat hari yang turut disertai oleh lapan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu turut memberi pendedahan dan peluang menimba pengalaman di luar bilik kuliah.

Bagi perjalanan dari Skudai ke Hatyai sejauh 967 km, bas hanya menggunakan 20 peratus biodiesel.

"Di Hatyai, penggunaan biodiesel ditingkatkan kepada 100 peratus bagi meneruskan baki perjalanan sejauh 483 km ke Surat Thani.

"Sepanjang perjalanan, kami merentasi tujuh wilayah iaitu Padang Besar, Sadao, Hatyai, Phattalung, Trang, Huai Yot, Tuang dan Tuang Song," katanya.

Menurutnya, pemilihan Surat Thani sebagai lokasi menguji penggunaan biodiesel kerana wilayah itu paling banyakmenghasilkan tanaman kelapa sawit.

"Ia juga penghormatan kepada lima pelajar UTM yang akan mengikuti latihan praktikal di industri pemprosesan agro, termasuklah kilang sawit di Surat Thani," katanya.

Sementara itu, Azad selaku pengarah program berharap ilmu yang diperolehi sepanjang ekspedisi akan membantu mereka mempelajari bagaimana menghasilkan biodiesel dalam kuantiti yang banyak.

"Impian jangka panjang ialah membina loji pemprosesan biodiesel bagi menghasilkan biodiesel dengan skala yang besar untuk kegunaan kenderaan rasmi UTM," katanya.


ni lah artikel mengenai biodiesel expidition 09 yang ditulis oleh seorang wartawan harian metro....hu3.....bestnye time tuh.....rindu kat korang semua....aser nk rewind back the time and back to the expidition day again...lolz
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...